KUCHING: Rakyat diingatkan agar tidak terperdaya dengan dakyah dan janji kosong pembangkang yang hanya mahu menanam kebencian terhadap kerajaan.
Perkara itu diingatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberitahu bahawa pembangkang hanya mampu membuat janji manis dan belum tentu ia ditepati.
“Apa yang kita mahu sebuah kerajaan yang mempunyai catatan rekod yang baik, maknanya pembangkang tidak boleh lawan pencapaian yang telah dicatatkan Barisan Nasional (BN).
“Jadi, kita janganlah terperdaya dengan kata-kata manis atau hasutan daripada pembangkang, mereka menabur kebencian dan mengamal politik kebencian (agar rakyat) benci kepada kerajaan, benci kepada pemimpin.
“Tetapi kita membawa politik untuk membawa kepada keharmonian, kesejahteraan, menstabilkan negara, mengangkat darjat bangsa dan maruah serta agama kita,” katanya ketika berucap pada lawatan kerjanya di Kampung Haji Baki di sini, malam kelmarin.
Malah, Najib berkata seperti yang berlaku di negara-negara Islam yang terlibat dalam kebangkitan ‘Arab Spring’ yang sepatutnya rakyat di negara tersebut menikmati keindahan musim bunga tetapi akhirnya menderita.
Pada masa sama beliau mahu rakyat Sarawak memberi mandat besar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) kelak.
“Saya sebagai Perdana Menteri perlukan negeri Sarawak ini menjadi salah satu daripada tiang kekuatan kerajaan BN. Kalau Sarawak menang besar kerajaan BN peringkat persekutuan pun menjadi lebih kukuh dan lebih utuh lagi untuk kita membawa Malaysia mengharungi ujian-ujian ekonomi dunia masa kini,” tegasnya.
Menurutnya, meskipun berhadapan dengan cabaran ekonomi yang tidak menentu, kerajaan BN masih mampu membawa kemajuan dan pembangunan serta memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Saya kerap melawat Sarawak bukan kerana sudah dekat Pilihan Raya Negeri tetapi sepanjang masa saya memang merupakan seorang pemimpin yang amat dekat dengan negeri Sarawak ini.
“Saya juga ingin melihat Sarawak terus maju ke hadapan seiring dengan negeri-negeri di Semenanjung kerana potensi negeri Sarawak amat besar,” tambahnya.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan geran RM1 juta bagi pembinaan dewan masyarakat kampung tersebut selain meluluskan peruntukan bagi pembinaan bangunan baharu menggantikan SK Kampung Haji Baki yang sudah usang.
Malah, beliau juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak lelaki ketua kampung, Taib Hamdan yang meninggal dunia pagi kelmarin.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan tetamu kehormat lain.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.