16 March 2016

KM Tidak Berniat Singgung Perasaan Kaum Iban, Namun Tetap Mohon Maaf

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata beliau tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak khusus komuniti Iban apabila beliau melemparkan kata-kata guruan dalam satu majlis di sini baru-baru ini.
“Saya mengatakannya dengan rasa gembira. Ia hanyalah satu gurauan. Malah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) ketawa mendengar gurauan saya itu dan beliau (Najib) tahu itu adalah satu gurauan.
“Namun jika ada orang atau pihak menganggap ia salah dan berasa tersinggung, saya minta maaf,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia dekat sini, semalam.
Justeru dengan kenyataannya itu beliau berharap isu tersebut selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi.
Sabtu lalu ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MINDA (Malaysia Inklusif Negara Digital), Adenan dikatakan melemparkan gurauan  terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan: “Kalau nak belajar bahasa Iban, nak pantas pandai, carilah isteri Iban’.
Ahad lepas Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) menerusinya kenyataan akhbarnya di Miri mahu Adenan memohon maaf kepada masyarakat Iban di negeri ini kerana gurauan itu.
Menurut PEDAS walaupun Adenan sekadar bergurau, beliau telah menyinggung perasaan kaum Iban, khususnya golongan wanita.
Tambah PEDAS lagi, persatuan itu ‘bersuara’ sebagai mewakili masyarakat Iban yang tidak berpuas hati dengan gurauan tersebut, dianggap merendahkan maruah serta martabat wanita Iban.
Isnin lalu, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menerusi Naib Pengerusinya Leon Jimat Donald juga menuntut Adenan memohon maaf kepada komuniti Iban atas gurauannya itu.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress