KUCHING: Pengamal media tempatan dan antarabangsa diingatkan agar menjalankan tugas kewartawanan mengikut etika kerja yang betul.
Menurut Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, meskipun kebebasan bersuara mengambil tempat di mana sahaja, etika kewartawanan seharusnya dititikberatkan dalam diri setiap pengamal media agar tidak melanggar sebarang undang-undang yang boleh menjejaskan reputasi seorang wartawan.
Beliau yang merupakan menteri bertanggungjawab terhadap media di Sarawak mengulas mengenai perkara tersebut sebagai respons berhubung penahanan dua wartawan Australia baru-baru ini yang didakwa melintasi garis keselamatan dan ingin menghampiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika kunjungan ke Kampung Haji Baki di sini, Sabtu lalu.
“Di mana-mana sahaja dan bukan hanya di negara kita, sekiranya ada majlis yang dihadiri pemimpin negara, tidak semua benda dibenarkan kepada para wartawan bertugas.
“Terdapat etika yang harus dipatuhi dan keselamatan pemimpin negara adalah sesuatu yang wajib diberi keutamaan.
“Justeru, wartawan yang ditugaskan membuat liputan seharusnya tahu dan sedar akan perihal ini dan sekiranya ada yang ingin bertanya soalan dan sebagainya, gunakan platform yang betul seperti sidang media khas, misalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Projek Astro Kasih di Dewan Merpati Jepang di sini, semalam.
Sabtu lalu, ketika Najib mengadakan lawatan ke Kampung Haji Baki di sini, dua individu tersebut melintasi garisan keselamatan dan secara agresif menghampiri Najib yang dalam lawatan rasmi ke Masjid Darul Ehsan, kira-kira jam 8.35 malam.
Mereka yang masing-masing berusia 51 tahun dan 39 tahun kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pagi semalam.
Hasil pemeriksaan menunjukkan kedua-dua mereka yang mendakwa sebagai wartawan Australian Broadcasting Corporation (ABC) berpangkalan di Sydney, Australia, tiba di negara ini pada 5 Mac lalu.
Mereka yang tiba di Kuching pada Sabtu lepas turut mendakwa membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Sarawak.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. -Utusan Borneo-
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.