18 March 2016

Komplot Terbongkar

MIRI: Empat sekeluarga termasuk sepasang suami isteri yang merupakan pengurus cawangan dan kerani pentadbiran di sebuah premis pemberi pinjaman wang berlesen berjaya diberkas polis kerana disyaki melakukan pecah amanah jenayah.
Manakala dua suspek lagi masing-masing merupakan adik ipar dan anak saudara kepada pengurus cawangan terbabit.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang berkata, tangkapan ke atas keempat-empat suspek terbabit berusia antara 20 hingga 31 tahun dibuat berikutan laporan polis diterima Balai Polis Lutong daripada pengurus premis pemberi pinjaman wang tersebut pada 10 Mac lalu.
Terdahulu, katanya, pemilik premis terbabit telah membuat pemeriksaan mengejut di premisnya terletak di Pusat Komersil Emart di sini.
Semasa pemeriksaan dilakukan, katanya, pengadu mendapati wang syarikat serta barang kemas milik pelanggan digadai di premis berkurangan.
“Hasil semakan, pengadu juga mendapati kebanyakan dokumen tidak lengkap selain rekod tidak dikemas kini dan dipercayai dengan sengaja dimusnah pengurus cawangan dan isteri dengan tujuan penyelewengan,” katanya pada sidang media di sini petang semalam.
Berikutan itu, kata Junaidi, pengurus cawangan dan isteri serta adik iparnya yang bekerja sebagai budak pejabat di premis terbabit ditahan pada jam 2.45 petang hari sama untuk membantu siasatan polis.
Manakala anak saudara kepada suspek pertama merupakan seorang penganggur ditahan pada jam 4.20 petang hari sama di hadapan sebuah premis pajak gadai di kawasan sama.
Sementara itu, menurut beliau, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Miri diketuai Inspektor Jagadhesan Arumugam telah pergi ke dua buah kedai pajak gadai di Pusat Komersil Emart dan merampas pelbagai barang kemas yang dipercayai telah dipajak oleh keempat-empat suspek terbabit di dua kedai berkenaan.
“Pelbagai barang kemas berserta 11 resit pajakan berjaya dirampas daripada kedua-dua kedai terbabit membabitkan nilai pajakan keseluruhan berjumlah RM40,000.
“Keempat-empat suspek kini sedang direman dan akan dituduh di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah jenayah,” katanya.
Jika sabit kesalahan katanya, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi 14 tahun serta sebat dan juga boleh didenda.
Selain itu menurut Junaidi, pihaknya juga sedang menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sama ada hendak mendakwa pemilik dua kedai pajak gadai terbabit atau sebaliknya atas kesalahan menerima harta curi yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress