18 March 2016

Bila SPRM Mahu Siasat Guan Eng?

KUALA LUMPUR – Walapun aduan mengenai salah laku Lim Guan Eng dalam urusan jual beli rumah telah dibuat sejak 16 Julai 2009 yang lalu, namun sehingga kini tiada lagi kertas siasatan dipercayai dibuka oleh pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang terhadap Ketua Menteri berkenaan.
Memetik laporan portal My Nation News, laporan pertama yang dibuat terhadap Guan Eng adalah bertarikh 16 Julai 2009, dan bukanya pada tahun 2012 seperti yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Datuk Shabudin Yahya di Dewan Rakyat, semalam.
Bagaimanapun, sejak laporan itu dibuat, Guan Eng atau saksi tidak pernah dipanggil untuk direkodkan kenyataan untuk membantu melengkapkan siasatan terhadap aduan tersebut.
Menurut sumber, laporan itu telah dibuat oleh Pemuda Gerakan di pejabat SPRM Pulau Pinang pada tarikh berkenaan, terhadap tindakan Guan Eng yang berpindah ke sebuah bangle milik persendirian di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang.
Terdahulu pada Khamis, Shabudin ketika menggulung titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat mempersoalkan SPRM yang masih lagi tidak memuktamadkan aduan yang dibuat terhadap Guan Eng sejak 2012.
Persoalan yang sama turut diutarakan bekas penyiasat tentera, Kapten (B) Rahmat Omar:
“Mengapa SPRM masih tidak lagi memuktamadkan siasatan terhadap pembelian hartanah di No 25 Jalan Pinhorn?
“Kertas siasatan dibuka pada 2012 dan ia telah melepasi tempoh empat tahun tanpa sebarang kesimpulan. Saya sudah mula meragui pendirian tidak berpihak SPRM dan integriti pegawainya,” tulis Rahmat.
Entri berkenaan boleh dibaca sepenuhnya di capaian http://www.mynation.news/penang-cm-bungalow-the-silence-of-macc/.
Sumber My Nation News juga mengatakan bahawa sesuatu kes berprofil tinggi seperti ini perlu dilengkapkan antara tempoh tiga bulan hingga setahun, seperti mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) SPRM.
“Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) SPRM, sesuatu kes berprofil tinggi seumpama ini perlu dilengkapkan antara tempoh tiga bulan hingga setahun.
“Namun, dalam aduan dibuat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau dipercayai tidak pernah dipanggil untuk memberi kenyataan, manakala saksi pula dipanggil untuk direkodkan kenyataan mahupun dokumen dirampas bagi membantu siasatan,” kata sumber-sumber itu lagi.
Mengulas lanjut sumber itu berkata, setiap aduan selepas diterima akan disalurkan ke unit rekod SPRM negeri terbabit dan pengesahan akan dibuat pengarah SPRM negeri sebelum dikemukakan kepada ibupejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
“Pengarah SPRM negeri akan mengesahkan aduan diterima sebelum dikemukakan kepada ibupejabat,” kata sumber-sumber itu lagi.
Sebaik sahaja aduan sampai di ibupejabat SPRM, ia akan melalui Jawatankuasa Penilai Maklumat sebelum membuat keputusan sama ada kertas siasatan perlu dibuka atau perlu melalui prosedur risikan.
“Jika maklumat tidak kukuh, pihak jawatankuasa penilai maklumat ibupejabat SPRM akan meminta dibuka kertas penyiasatan awal (KPA) atau kertas risikan bagi membantu mengesahkan aduan yang diterima.
“Proses ini akan turut memanggil orang kena tuduh (OKT) untuk diambil keterangan mengikut Seksyen 30(8), Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.
“Manakala saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 53(3), akta yang sama,” kata sumber-sumber itu lagi.
Bagaimanapun, sejak aduan dibuat, Guan Eng tidak pernah dipanggil untuk memberi kenyataan mahupun dokumen dirampas bagi membantu siasatan terhadap aduan dibuat pada 2009 itu.
Malah, KPA mahupun kertas risikan dikatakan tidak pernah dibuka bagi memulakan siasatan terhadap Guan Eng.
Dalam masa sama, terdapat satu lagi laporan dipercayai dibuat terhadap Guan Eng pada 2012 berkaitan banglo itu namun sejak itu Ahli Parlimen Bagan itu dikatakan tidak pernah dipanggil memberi keterangan atau dokumen disita dari pejabatnya.
Selain laporan mengenai banglo disewa Guan Eng sebelum didakwa dibeli pada harga RM2.8 juta tahun lalu, beberapa aduan lain turut diterima SPRM Pulau Pinang termasuk kos bagi penilaian kewajaran (feasibility study) sebanyak RM305 juta untuk projek terowong bawah laut dan lebuhraya berkembar.
Isu banglo itu bukanlah baharu dan seharusnya SPRM Pulau Pinang sudah menjelaskan sama ada terdapat kes atau sebaliknya, namun ia mungkin tidak dapat dilakukan berikutan tiada keterangan OKT mahupun saksi dikatakan direkodkan lanjutan aduan dibuat.
Selain isu banglo didiami Guan Eng itu, aduan turut dibuat terhadap kerajaan Pulau Pinang bagi menggesa SPRM Pulau Pinang memulakan siasatan terhadap penggondolan Bukit Relau yang didakwa dilakukan secara haram.
“Sebagaimana lazim dilakukan SPRM, bagi kes berprofil tinggi, kenyataan media akan dikeluarkan apabila ia melibatkan individu memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dipanggil untuk memberi kenyataan.
“Tindakan itu adalah bagi mengelakkan persepsi berat sebelah terhadap agensi ini.
“Setakat ini, Guan Eng dipercayai tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan mahupun saksi direkodkan kenyataan mereka dan dokumen disita untuk membantu siasatan,” dakwa sumber-sumber itu lagi.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress