Gambar Hiasan |
KUCHING: Gara-gara enggan mengikut teman lelaki pulang ke rumah seorang wanita digigit serta dibelasah sehingga menyebabkan kecederaan di beberapa anggota badannya, kelmarin.
Menurut sumber, kejadian berlaku pada Isnin lepas apabila mangsa berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Bintawa Ulu keluar bersama suspek sekitar jam 11 malam.
Setiba di Jalan Sultan Tengah, suspek yang berasal dari Kampung Semariang Batu mengajak mangsa pulang ke rumahnya, namun pelawaan tersebut ditolak mangsa menyebabkan suspek tiba-tiba mengamuk.
“Mangsa ditumbuk serta ditendang selain turut digigit suspek di bahagian lengannya dan kepala mangsa turut dihentak ke simen sehingga menyebabkan mangsa mengalami lebam di badannya.
“Punca kejadian adalah kerana mangsa enggan mengikuti suspek pulang ke rumahnya,” kata sumber.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis semalam tidak diketahui sama ada mangsa dihantar pulang atau dipaksa suspek mengikutinya pulang selepas insiden tersebut.
Difahamkan, mangsa yang risau akan keselamatannya kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian pada keesokan harinya di balai polis berhampiran.
Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan dan mangsa juga telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.
Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas meninggal dunia di Kuching Sentral di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Wilson berusia 60-an bersama adiknya baharu tiba dari Bintulu dan tiba-tiba pengsan ketika menunggu dijemput oleh anak saudaranya sekitar jam 5.30 pagi.
Orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian segera menghubungi pihak hospital dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian.
--Utusan Borneo 17/03/2016
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.