18 March 2016

Skandal Pembelian Rumah : NGO Buat Laporan Polis Terhadap Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Sensible, Ethical Malaysian United Team (SEMUT) hari ini telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembelian sebuah rumah dengan harga luar biasa rendah.
Menurut Pengerusinya, Zaparudin Abdul Rahim berkata susulan daripada pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di Parlimen semalam, pihaknya mendesak agar satu siasatan dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemimpin DAP itu.
"Berdasarkan semakan rambang, dan disebut oleh orang ramai, nilai semasa banglo berkenaan adalah sekitar RM6.5 juta.
"Kemudian, banglo tersebut dibeli oleh Lim Guan Eng pada harga hanya RM2.8 juta. Berapa beza tu?," ujar beliau kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.
Menolak penjelasan yang diberikan oleh Ketua Menteri itu bahawa rumah tersebut dibeli dengan harga murah adalah disebabkan tiada kemudahan kolam renang, Zaparudin membidas dan berkata ianya adalah alasan yang tidak munasabah.
"Alasan yang diberi, banglo tersebut adalah rumah biasa dan tiada 'swimming pool'.
"Kelakar kan? Adakah kos bina kolam renang mencecah hingga jutaan ringgit?," soalnya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga meminta supaya rakyat membuka mata dan menilai sendiri perangai sebenar parti pembangkang DAP yang tidak jemu melontarkan fitnah terhadap Perdana Menteri dan kerajaan, sedangkan kepincangan dalam parti itu sendiri jauh lebih teruk.
Sementara itu, Zaparuddin juga menggesa agar Ahli Parlimen Bagan itu dikenakan tindakan setimpal sepertimana yang dikenakan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo.
Turut dilaporkan, satu lagi laporan polis turut dibuat di Balai Polis Perai, Pulau Pinang oleh NGO yang sama terhadap Lim Guan Eng.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress