15 March 2016

Dilayan Seperti Hamba

SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu berjaya menyelamatkan seorang wanita dan tujuh lelaki warga Indonesia daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Terdahulu, anggota polis daripada Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) telah menerima maklumat daripada pihak konsulat Indonesia.
Bertindak atas maklumat, satu serbuan dilancarkan ke sebuah kedai membuat dan menjual roti di Sibu Jaya tengah hari Sabtu lalu.
Difahamkan semasa serbuan kelapan-lapan mangsa sedang bekerja. Hasil siasatan awal, semua mangsa berada di sini sejak dua hingga empat bulan lalu.
Sejak berada di sini, mereka tinggal di tingkat atas bangunan kedai tempat mereka bekerja dan tidak pernah dibenarkan keluar.
Mereka mendakwa segala barang keperluan diperolehi menerusi pemotongan gaji.
Lebih menyedihkan, mereka juga mendakwa tidak pernah memegang atau melihat pasport serta visa milik mereka sejak tiba di sini kerana disimpan oleh majikan.
Polis turut diberitahu sering berlaku kelewatan pembayaran gaji selain tidak dibawa ke hospital sekiranya sakit.
Mangsa mendakwa mereka hanya diberi ubat sahaja sekiranya tidak sihat.
Sementara itu, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang juga majikan mangsa diberkas bagi membantu siasatan.
Konsulat turut diberitahu mengenai kejayaan tersebut dan semua mangsa kini diletakkan di rumah perlindungan setelah diberikan Perlindungan Interim (IPO).
--Utusan Borneo 15/03/2016

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress