17 March 2016

Rogol Anak Kandung, Bapa Dijel 20 Tahun dan Disebat

KOTA KINABALU – Seorang artis tempatan dihukum penjara selama 20 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, disini, hari ini.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah merogol anak kandungnya, baru- baru ini.

Lelaki berusia 44 tahun itu didakwa merogol mangsa yang berusia 20 tahun di sebuah bengkel kereta tidak beralamat di Kampung Keliangau, Menggatal, pada jam 9 malam, 25 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat pada jam lebih kurang 5 petang, 1 Mac lalu menyatakan mangsa dirogol oleh seorang lelaki dikenali bertempat di ruang tamu bengkel di Kampung Keliangau Menggatal, disini.

Siasatan awal mendapati tertuduh telah merogol mangsa pada masa, tempat dan hari kejadian. Mangsa berasa takut dan tertekan atas kejadian tersebut kerana sebelum ini tertuduh telah beberapa kali merogol mangsa sejak mangsa berumur 13 tahun. Mangsa takut untuk memberitahu kepada ibu dan pihak polis kerana tertuduh mengugut akan memukul ibu dan adik-adik mangsa.

Mangsa telah lari meninggalkan rumah 28 Februari lalu pada jam lebih kurang 7 malam dan menuju ke rumah Good Shephard Services (Tempat Kebajikan Wanita dan Remaja) di Likas.

Bertindak atas maklumat, tertuduh ditangkap di Ibu Pejabat Polis Daerah Karamunsing, pada jam 1.45 petang, 2 Mac lalu.

Mangsa telah dirujuk ke Hospital Likas bagi tujuan pemeriksaan dan pemeriksaan awal Pegawai Perubatan mendapati terdapat kesan koyakan lama pada hymen mangsa.

Hasil siasatan lanjut, mangsa merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik. Mangsa mula dirogol semasa umur 12 tahun. Kejadian tersebut berlaku pada tahun 1998 di dalam tandas bengkel kereta kepunyaan tertuduh. Perkara ini berterusan sehingga mangsa berumur 13 tahun.

Dalam mitigasi, tertuduh yang diwakili oleh peguam Luke Ressa Balang meminta mahkamah memberi pengecualian hukuman sebat kepada tertuduh kerana tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi. Namun, pihak pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dikenakan kerana mangsa merupakan anak kandung tertuduh dan ini merupakan satu kesalahan yang berat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi. 

--SayangSabah 16/03/2016

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress