Gambar Hiasan |
KUCHING: Dengan bersenjatakan parang dan batang besi, empat lelaki merompak sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Canna di sini, semalam.
Menurut sumber, keempat-empat suspek meluru masuk ke premis berkenaan dan terus pergi ke arah dua pekerja yang berada di kaunter sekitar jam 4.30 pagi.
Difahamkan, suspek kemudian mengarahkan kedua-dua pekerja terbabit mendiamkan diri dan mereka terus mengambil semua kotak rokok berjenama serta wang tunai hasil jualan sekitar RM1,500.
“Suspek bersenjatakan parang dan besi panjang, mereka meluru masuk ke arah kaunter dan mengambil kesemua kotak rokok dan juga wang tunai hasil jualan dianggarkan berjumlah RM1,500.
“Mereka (suspek) yang turut mengambil beberapa bungkusan makanan ringan kemudian beredar dari tempat kejadian,” kata sumber.
Pekerja premis berkenaan yang trauma dengan insiden tersebut kemudian segera menghubungi pihak polis untuk bantuan dan turut memaklumkan kepada majikan mereka.
Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati anggaran kerugian mencecah RM4,500.
Anggota dan pegawai polis dari balai polis berhampiran juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Usaha untuk menjejaki kesemua suspek kini sedang giat dilakukan oleh pihak polis,” kata sumber.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.