KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta agar Pejabat Pesuruhjaya Sukan menyemak bentuk tindakan dalam Akta Pembangunan Sukan yang boleh dikenakan ke atas penganjur perlumbaan berbasikal Tour of Sarawak (ToS) 2016 yang membatalkan kejohanan tersebut pada saat-saat akhir.
Katanya, tindakan penganjur itu amat memalukan dan dalam masa sama mencalarkan imej Malaysia dalam penganjuran sukan peringkat antarabangsa.
Tambahnya, syarikat dan individu yang bertanggungjawab dalam penganjuran tersebut akan disenarai hitam sekali gus tidak layak memohon lesen penganjuran sesuatu kejohanan.
“Ini menunjukkan penganjur tidak bersedia dan tidak mempunyai pembiayaan yang cukup, dan yang penting kita mahu memastikan perkara ini tidak berulang dengan meminta Pejabat Pesuruhjaya Sukan mengambil tindakan sewajarnya.
“Ini juga adalah untuk memastikan penganjur lain sedar bahawa Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak memandang ringan terhadap sesuatu penganjuran yang tidak berjaya dan penganjur yang tidak memenuhi janji kepada peserta dan kerajaan apabila memohon lesen,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Cemerlang 2015 Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini semalam.
ToS yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 20 Mac bermula dari Miri dan berakhir di Kuching, merupakan anjuran Fadz Industries Sdn. Bhd. serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Sosial dan Kementerian Pelancongan.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau tertarik dengan cadangan Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) untuk menggabungkan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 pada Ogos tahun hadapan.
Katanya, cadangan tersebut dilihat mempunyai kelebihan tersendiri selain unik dan jika dilaksanakan akan menjadi yang pertama kali dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut harus diperhalusi oleh Sekretariat Sukan SEA yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zolkples Embong.
“Secara peribadinya saya amat tertarik dengan cadangan tersebut dan percaya ada kelebihan dari segi semangat kesukanan.
“Menggabungkan dua temasya yang sama dan meraikan pada masa sama adalah sesuatu yang kali pertama dalam sejarah jika diadakan, malah dapat membantu kita dari segi pengurusan kos,” katanya.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.