15 March 2016

2 Wartawan Australia Dibebaskan, Peguam Negara Berlembut

KUCHING: Jabatan Peguam Negara malam tadi membuat keputusan untuk tidak melakukan pendakwaan terhadap dua wartawan ABC News Australia yang ditahan kerana merempuh protokol keselamatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Sabtu lalu.
Sebaliknya, wartawan Four Corners tersebut, Linton Besser, 51 dan jurukamera, Louie Eroglu, 39 dibebaskan, dan diarahkan untuk menyelesaikan beberapa dokumen sebelum meninggalkan negara ini.
Menurut peguam pasangan ini, Albert Tang, pihaknya sebelum telah dihubungi Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Ng Ah Lek bahawa pertuduhan terhadap kedua-dua anak guamnya akan dilakukan di Mahkamah Kuching sekitar jam 8.30 pagi ini.
” Bagaimanapun pada malam tadi, kami dimaklumkan bahawa pertuduhan kepada anak guam saya digugurkan dan mereka dibebaskan.
” Mereka diminta mengambil passport yang dirampas sebelum ini serta menyelesaikan beberapa dokumen, sebelum meninggalkan negara ini,” katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, kedua-dua wartawan ini ditahan polis sejurus merempuh kawalan protokol keselamatan Najib ketika beliau melakukan kunjungan mesra ke Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, dekat sini.
Rempuhan itu berlaku dalam usaha mereka (wartawan) untuk menyoal Perdana Menteri pada waktu yang bukan ditetapkan untuk bertemu media.
Kedua-dua individu terbabit kemudian ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan dibebaskan dengan jaminan polis pagi esoknya selepas diberikan amaran keras, selain keterangan mereka direkodkan.
Penahanan itu kemudian tersebar dan menarik perhatian kebanyakan media di dunia dengan alasan bahawa mereka ditangkap ketika sedang membuat liputan tentang masalah rasuah di Malaysia.
Pengarah Berita ABC News, Gaven Morris semalam mempertahankan tindakan anak-anak buahnya dengan menafikan mereka melampaui batas apabila merempuh protokol keselamatan tersebut.
” Saya beri jaminan, mereka tidak akan menghalang tugas penjawat awam atau bertindak di luar batasan.
” Sebaliknya mereka tidak melihat sebarang garisan polis dan tidak percaya mereka melangkauinya,” katanya dalam satu kenyataan. – SARAWAKVOICE.COM

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress