19 March 2016

‘Kalau Saya Nak Rompak, Dah Lama Saya Rompak Pahang’ - PM

KUANTAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertindak membidas segala tohmahan yang sering dilemparkan oleh puak yang ingin menjatuhkannya dan menepis dakwaan bahawa beliau bukanlah seorang ‘pencuri harta rakyat’ seperti yang digambarkan oleh golongan tersebut.
Menurutnya, rakyat seharusnya lebih mengenali beliau dan menolak segala tuduhan yang dilemparkan oleh puak pembangkang kerana apa sahaja yang dilakukan oleh mereka hanyalah berlandaskan satu matlamat, iaitu untuk menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin nombor satu negara.
"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.
"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.
"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya pada majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Najib yang juga Presiden Umno percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan berkerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri.
Perdana Menteri sekali lagi berikrar akan terus beristiqamah dalam perjuangannya dengan fokus kepada pembangunan ekonomi negara kerana perkara itu memastikan peluang pekerjaan bertambah, meskipun dirinya 'diserang' daripada pelbagai sudut.
"Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan.
"Mereka tetap kata 'America is great' (Amerika hebat). Tapi puak-puak kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya, kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana perkara itu lebih kepada politik persepsi.
Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa gembira kerana agenda perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di landasan yang ditetapkan.
Di Pahang sendiri katanya, sebanyak 39,000 unit rumah PR1MA Pahang telah berjaya dibina sejak Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun sasaran awal hanya sebanyak 19,000 unit.
"Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya.
Beliau berkata, rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit merupakan pembelian aset yang menguntungkan rakyat.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress