BAU: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengajak penyokong parti pembangkang supaya menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang untuk kebaikan masa depan negeri.
"Marilah kita lupakan segala perbezaan politik kita demi masa depan negeri Sarawak dan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) di Pusat Redeems di sini hari ini.
Pengerusi BN Sarawak itu berkata beliau memerlukan mandat besar untuk meneruskan perjuangan beliau membangunkan negeri ini khususnya kawasan luar bandar, menuntut penurunan kuasa pentadbiran kerajaan pusat kepada kerajaan negeri di samping peruntukan lebih besar daripada kerajaan persekutuan.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya sorakan yang beliau terima di setiap majlis dihadirinya diterjemahkan kepada undi.
Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 dijangka diadakan pada bila-bila masa susulan penggal Dewan Undangan Negeri semasa akan berakhir menjelang Jun tahun ini.
Ketua Menteri mengulangi bahawa calon yang dipilih dan bersama-sama dalam pasukan beliau (Pasukan Adenan) akan diberi kebenaran untuk menggunakan lambang BN iaitu dacing pada pilihan raya negeri akan datang.
"Berdasarkan sokongan yang diterima ketika kunjungan saya ke seluruh negeri saya mendapati sokongan rakyat kepada BN semakin bertambah," katanya.
Sementara itu, kira-kira 10,000 yang hadir di majlis hari ini terpaksa menunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui siapakah calon BN untuk kerusi Tasik Biru pada PRN akan datang.
Ini berikutan Adenan dalam ucapannya berkata beliau kagum dengan jumlah yang hadir pada majlis tetapi menurutnya beliau tidak berhasrat untuk mengumumkan calon BN bagi kerusi itu pada hari ini.
"Tetapi berdasarkan apa yang saya nampak hari ini, saya tahu apa keputusan yang akan saya buat nanti," katanya.
Penyandang kerusi Tasik Biru Datuk Peter Nansian dan Datuk Harry Henry Jinep dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing menawarkan diri untuk bertanding menggunakan lambang BN pada PRN akan datang.
Adenan turut menjelaskan sebab beliau menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan beliau seorang perdana menteri yang sangat baik kepada rakyat dan negeri Sarawak.
Katanya, sejak menjadi perdana menteri, Najib sudah melawat ke Sarawak hampir 50 kali dan meluluskan banyak peruntukan untuk pelbagai projek dan program di negeri ini termasuk RM3 bilion sepanjang tinjauan mesra beliau dan RM16 bilion untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo.
Nansian yang turut berucap pada majlis itu menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi pengundi di Tasik Biru kepada BN sambil berharap beliau akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN akan datang.
Sementara itu, Harry ketika ditemui Bernama berkata dalam semangat sambutan Easter beliau mengetepikan perbezaan politik dan turut hadir pada majlis hari ini, malah berjabat tangan dengan Nansian di hadapan ketua menteri.
"Sayalah satu-satunya bakal calon yang menghadiri majlis anjuran Teras kerana saya percaya penyokong-penyokong kami adalah sama, iaitu penyokong BN," katanya.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.