CEMAS:Seorang anggota bomba nekad turun menggunakan tali untuk menangkap dan menghalang seorang lelaki meneruskan niatnya mahu membunuh diri. |
KUCHING: Tindakan pantas pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Siburan berjaya menggagalkan cubaan membunuh diri seorang lelaki yang cuba terjun dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Jalan Penyiaran, Batu 15 di sini, semalam.
Anggota bomba yang diturunkan menggunakan tali terus menangkap mangsa sebelum lelaki berusia 22 tahun itu disambut oleh anggota di bahagian bawah bangunan.
Menurut sumber bomba, seramai lima anggota diketuai PBK II Valentine Samy digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 10.08 pagi sebelum tiba 12 minit kemudian.
Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang lelaki sedang berdiri di luar pagar balkoni unit kediaman yang terletak di tingkat empat tersebut.
Usaha memujuk lelaki berkenaan untuk turun telah dilakukan oleh bapa serta ahli keluarganya namun menemui jalan buntu.
Malah, mangsa tidak membenarkan sesiapa pun menghampirinya dan mengugut akan meneruskan niat untuk terjun.
Difahamkan, pihak bomba mengambil masa selama sejam bagi memujuk mangsa agar tidak terjun sebelum seorang anggota nekad turun menyelamatkan mangsa.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan tindakan pantas dan berani seorang anggota yang diturunkan menggunakan tali, menangkap mangsa sebelum disambut anggota di tingkat bawah,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Motif kejadian tidak diketahui dan mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.