07 April 2016

PKR Minta DAP Hormati Prinsip Pakatan Harapan

MIRI: PKR meminta DAP menghormati parti itu atas prinsip semangat Pakatan Harapan (PH) dengan menarik balik hasratnya bertanding di kerusi DUN Senadin.
Setiausaha PKR Miri Bill Kayong berkata kerusi DUN Senadin secara tradisinya milik PKR manakala Pujut dan Piasau diperuntukkan kepada DAP.
Katanya PKR sudah lama menyampaikan khidmat kepada penduduk di kawasan Senadin malah perjuangan PKR sudah sinonim dengan penyokong PH di kerusi berkenaan berbanding DAP yang menuntut kerusi itu.
“Kita mahu DAP menghormati PKR atas prinsip semangat PH seperti mana PKR menghormati mereka dengan tidak meletakkan calon atau menuntut DUN Piasau dan DUN Pujut.
“Tindakan DAP menuntut DUN Senadin tradisinya milik PKR adalah sesuatu yang bertentangan dengan semangat dan prinsip persefahaman PH.
“Malah, lebih memburukkan tindakan DAP turut bertanding di kerusi sama akan memecahbelahkan undi penyokong PH sekali gus memberi kelebihan kepada calon lawan yang sepatutnya menentang bersama,” jelas Bill.
Beliau berkata, ADUN Pujut yang juga Setiausaha Agung DAP Sarawak Alan Ling dan DAP tidak boleh terlalu yakin dengan keputusan mereka menuntut Senadin dan meletakkan dirinya (Alan) sebagai calon di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Alan mahupun DAP tidak boleh terlalu yakin kerana tanpa kerjasama dalam Pakatan tidak mustahil bagi DAP akan kalah di semua kerusi yang ditandingi di Miri termasuk Piasau dan Pujut.
“Sehubungan itu, PKR Miri minta DAP jangan memandang rendah rakan dalam Pakatan kerana pada pandangan kami, PKR dan DAP saling memerlukan antara satu sama lain untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN),” jelas Bill sambil menambah, pertelingkahan mereka di kerusi Senadin mungkin boleh memberi kemenangan kepada BN, bertentangan dengan matlamat mereka.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress