10 March 2016

'Deklarasi Mahathir' Polemik Politik Menyalahi Amalan Demokrasi - Irmohizam


KUALA LUMPUR, 10 Mac - 'Deklarasi Mahathir' adalah polemik politik yang menyalahi sistem dan amalan demokrasi negara ini, demikian kata anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata polemik politik sedemikian harus dihentikan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kita harus menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, cukuplah polemik politik ... fokus kepada kesejahteraan, keamanan dan kestabilan negara lebih-lebih lagi dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas pandangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pakatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas perdana menteri dan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perbuatan sia-sia dan 'gopoh'.

Mengulas isu sama, anggota Parlimen Sekijang Anuar Abdul Manap turut menyambut baik pendirian Abdul Hadi yang menegaskan parti itu tidak akan mengambil kesempatan dalam keadaan negara yang tidak menentu pada masa kini bagi menjatuhkan perdana menteri.

Katanya semua pihak sepatutnya memberi peluang kepada perdana menteri untuk memberi tumpuan kepada keadaan ekonomi negara dan mentadbir dengan lebih baik dan bukannya memberi tekanan politik kepada beliau.

"Sekiranya rasa kepimpinan perdana menteri bermasalah, kita ada saluran lebih baik yang boleh digunakan," katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress