11 March 2016

Serpihan Pesawat Ditemui Di Mozambique Tiba Untuk Dianalisa


BENTONG, 10 Mac - Serpihan pesawat yang ditemui di tebing pasir Mozambique awal bulan ini, dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, selamat sampai ke tanah air hari ini untuk dianalisa sebelum dihantar ke Australia untuk pengesahan lanjut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serpihan berkenaan tiba pagi tadi bersama pasukan penyiasat terdiri daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS serta pasukan penyiasat khas MH370.

"Serpihan yang dijumpai di Mozambique itu telah pun tiba pagi tadi dan pasukan penyiasat kita akan menjalankan ujian serta analisa terlebih dahulu sebelum ia dihantar ke Australia untuk mengesahkan sama ada serpihan itu benar milik MH370 atau tidak.

"Tentang bila keputusannya akan diperoleh, itu saya tidak boleh pastikan dan kita serahkan kepada pakar...tetapi kita berharap (dapat keputusan) secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia di sini hari ini.

Awal bulan ini satu serpihan berwarna putih sepanjang satu meter, dipercayai penstabil mendatar pesawat Boeing 777, dilaporkan ditemui di pesisiran pantai antara Mozambique dan Madagascar awal minggu ini, oleh seorang lelaki Amerika.

Beberapa hari selepas itu, satu lagi objek berukuran 40X20 sentimeter dan mempunyai tanda berwarna biru pada permukaannya, ditemui di Pulau Reunion, dekat Lautan Hindi oleh seorang lelaki yang bertugas sebagai pembersih pantai.

Beliau merupakan lelaki yang sama menemui serpihan 'flaperon' yang telah disahkan sebagai milik pesawat MH370 pada 29 Julai tahun lepas, di pulau yang sama.

Mengulas tentang penemuan serpihan terbaharu di Pulau Reunion itu, Liow berkata masih terlalu awal untuk mengandaikan ia milik pesawat malang itu.

"Kita telah menghantar sekumpulan pakar dari Malaysia ke pulau berkenaan untuk meneliti sama ada ia milik pesawat MH370 atau kapal lain. Kalau ia serpihan kapal, tiada asas untuk kita membawa balik," katanya.

Sementara itu, Liow turut melahirkan komitmen kerajaan untuk terus menjalankan misi pencarian pesawat MH370 sekaligus merungkai misteri kehilangannya.

"Kita tahu bukan sahaja anggota keluarga tetapi seluruh rakyat Malaysia ingin mengetahui apa sebenarnya berlaku terhadap pesawat MH370.

"Yang penting kini kita perlu dapatkan kotak hitam dan apa juga bukti yang ada untuk mencari punca sebenar kemalangan ini berlaku," katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress