09 March 2016

Deklarasi Rakyat Tak Jejas BN Sarawak - Adenan

BINTULU: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menyifatkan kewujudan 'Deklarasi Rakyat' tidak lebih daripada sekadar simbol 'persekongkolan cacamerba'.
Malah, beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat negeri ini terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11). 
Beliau yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata perkembangan itu juga sama sekali tidak akan mempengaruhi pendirian rakyat negeri ini sehingga memberi implikasi terhadap keputusan pilihan raya negeri yang dijangka diadakan hujung bulan depan. 
"Di Sarawak, cara kita sama sekali berbeza, malah saya cukup yakin segenap lapisan rakyat di negeri ini cukup matang dan bijak dalam membuat pilihan mereka bersandarkan rekod prestasi cemerlang selama ini. 
"Malah, jentera pilihan raya kita, khususnya di peringkat akar umbi sudah cukup bersedia menghadapi PRN11, termasuk pelbagai isu yang dijangka diketengahkan pembangkang yang sengaja mengambil peluang daripada krisis yang berlaku di sana (Semenanjung)," katanya. 
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera PRN11 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus, Jepak, Kemena, Tanjung Batu, Samalajau, Belaga dan Murum, di sini lewat petang tadi. 
Pada majlis yang sama, Adenan turut mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip dan DUN Kemena, Datuk Dr Stephen Rundi Utom, kedua-duanya dari PBB, dikekalkan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini. 
Ditanya mengenai pendiriannya terhadap Dr Mahathir bersekongkol dengan pembangkang dalam memperjuangkan 'Deklarasi Rakyat', beliau menganggap perkara itu tidak lebih dari sekadar berkepentingan peribadi. 
"Yang pasti, Sarawak akan terus menyokong kepemimpinan BN Pusat, tetapi tetap menghargai sumbangan beliau ketika menjadi Perdana Menteri suatu ketika dulu. Sarawak sama sekali tidak akan bersekongkol dengan pembangkang walaupun hanya kerana fahaman dan pendirian tidak sealiran," katanya.
Adenan turut mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak mudah leka dan terpengaruh dengan pelbagai isu yang dibangkitkan parti pembangkang dari Semenanjung untuk mendapatkan sokongan pada pilihan raya akan datang.  
"Kita sedar pembangkang akan menggunakan pelbagai helah dan kaedah untuk memancing undi pada pilihan raya akan datang...jangan sesekali terpengaruh," katanya. 
Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak, berkata beliau berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan semua parti komponen BN Sarawak, khususnya PBB untuk mempertahankan kerusi ditandingi dalam PRN11.  
"Saya amat yakin BN Sarawak tidak mempunyai masalah mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini, begitu juga kerusi baharu yang bakal ditandingi. Kita juga yakin dalam melaksanakan misi menawan semula beberapa kerusi yang dikuasai pembangkang," katanya. 
Sementara itu, beliau mengesahkan senarai penuh calon BN Sarawak sedang dikemaskinikan dan bakal diumumkan serentak menjelang hujung bulan ini. 
"Bagi DUN Mulu yang heboh diperkatakan ketika ini, saya akan meletakkan calon dari parti asal BN Sarawak. Itu sahaja yang boleh katakan sekarang...jika mahu tahu lebih lanjut, tunggulah hujung bulan ini, saya akan umumkan kesemuanya," katanya.
BH: http://www.bharian.com.my/node/132287

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress