KUCHING, 11 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan tinjauan mesra di sekitar kawasan kompleks Kubah Ria, yang terletak di pinggir Sungai Sarawak, di sini, malam ini.
Beliau berbuat demikian sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.
Orang ramai yang berpusu-pusu di kompleks itu jelas cukup teruja menyambut kehadiran pemimpin Nombor Satu negara itu yang tiba di situ pada kira-kira pukul 9 malam dengan diiringi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Turut kelihatan dalam tinjauan itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, serta Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bersalaman, malah ada yang 'berselfie' dengan Najib dan Adenan, yang kemudiannya mengambil kesempatan untuk menjamu selera di kompleks itu.
Kompleks bernilai lebih RM22 juta yang siap pada tahun 2010 itu memuatkan 47 unit kedai, 44 gerai makanan dan minuman selain dilengkapi atrium berpusat, serta ruang makanan terbuka yang boleh memuatkan 500 orang pada satu-satu masa.
Perdana Menteri bersama rombongannya kemudian meninggalkan kompleks itu kira-kira pukul 9.45 malam.
Perdana Menteri berada di sini untuk memulakan lawatan kerja tiga hari di Sarawak, dan esok beliau dijadualkan untuk merasmikan program MINDA (Malaysia Inklusif Negara Digital) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Tebingan Sungai Kuching di sini.
Beliau juga dijadual merasmikan majlis permulaan kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo jajaran dari bulatan Serian ke Simpang Pantu di tapak Institut Memandu Tebedu, Jalan Tangga Bypass, Serian, serta melakukan beberapa tinjauan mesra pada hari berikutnya sebelum berlepas pulang ke ibu negara.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.