10 March 2016

Parlimen: Laporan Tidak Benar Media Luar Timbulkan 'Keganasan Persepsi' - MP Bagan Serai


KUALA LUMPUR, 10 Mac - Seorang anggota Parlimen hari ini berkata laporan tidak benar media luar seperti Wall Street Journal (WSJ) mengenai ekonomi Malaysia mengundang 'keganasan persepsi' dalam kalangan rakyat.

Dr Nor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) bahkan menyifatkan WSJ sebagai media yang hanya mengutamakan laporan sensasi berbanding melaporkan fakta sebenar sehingga menyebabkan ada rakyat yang percaya.

"Yang kata ekonomi kita kucar-kacir, Malaysia nak bankrap, ekonomi buruk, siapa yang kata?

"Sedangkan fakta bukan begitu, agensi penarafan antarabangsa seperti Moody's, Standard & Poor's dan Fitch, terus meyakini asas ekonomi dan kedudukan kewangan kita, bagi penarafan yang baik.

"Tetapi kita mahu percaya yang mana? Fakta daripada yang pakar atau laporan yang tidak benar?," hujahnya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, di sini Khamis.

Dr Nor Azmi turut mengumpamakan WSJ seperti 'ratu cantik' kerana laporan yang didedahkan kononnya sempurna dan benar, tetapi adalah sebaliknya selain tidak mempunyai bukti kukuh.

"Luar nampak cantik, tapi bila selak-selak ada kurap, panau, kalau panau tidak apa lagi, kalau kayap boleh bawa mati," katanya.

Kenyataan itu mendapat perhatian anggota Parlimen pembangkang Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang mencelah dan menyatakan ekonomi Malaysia memang berada dalam keadaan tidak stabil sehingga terdapat banyak rungutan daripada rakyat mengenai kos hidup yang meningkat.

Cubaan Rafizi untuk menuding jari kepada kerajaan itu dibidas Dr Nor Azmi yang menyatakan sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada faktor luaran, disebabkan itu pendapatan negara agak terjejas dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia secara mendadak.

"Kerajaan usaha lakukan macam-macam untuk bantu rakyat. Sebab itu ada ubah suai Bajet 2016, laksanakan GST (cukai barang dan perkhidmatan) ... 160 negara amal GST, belum ada satu negara pun yang amalkan GST ini bankrap," katanya.

Beliau sebaliknya menegaskan pembangkang yang gemar bermain dengan persepsi dengan mendakwa GST dilaksanakan untuk membayar hutang akibat kerugian syarikat milik kerajaan dan membebankan rakyat.

"Sebab itu bila kita baca, kita dengar, kita kena tapis, bukan terima bulat-bulat. Jika tidak kita akan terpengaruh dengan persepsi buruk mengenai ekonomi negara kita," katanya.

Persidangan Dewan bersambung Isnin


- BERNAMA

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress