Datuk Takiyuddin Hassan |
KUALA LUMPUR, 10 Mac - PAS hari ini mengumumkan parti itu akan membentuk blok baharu pembangkang pada 16 Mac, menjadikan kumpulan itu blok pakatan pembangkang yang ketiga di negara ini.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menjalin kerjasama dengan sebuah parti bagi memperkukuhkan kedudukannya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Beliau tidak menamakan parti itu.
"Kami adalah blok ketiga. Dalam Perlembagaan (PAS) kami boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang sama dengan kami. Perjuangan dan tuntutan yang sama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Takiyuddin berkata PAS masih bekerjasama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat yang sebelum ini dianggotai tiga parti tetapi buat masa kini menolak kerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Politik bukan satu hala sahaja ... ia berbentuk gabungan, satu muafakat dengan parti politik, tetapi yang pasti bukan Pakatan Harapan," katanya.
Pakatan Harapan dibentuk oleh DAP, PKR dan Amanah selepas DAP enggan bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR. Amanah ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS selepas mereka kalah dalam pemilihan parti.
Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Baharu, berkata blok baharu itu akan membawa budaya politik matang dan sejahtera.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.