10 March 2016

Dua Maut Motosikal Bertembung

PUSA: Dua penunggang maut manakala seorang pembonceng cedera parah setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan pertembungan dua motosikal dari arah bertentangan di Kampung Tambak dekat sini, semalam.
Kedua-dua mangsa maut masing-masing menunggang motosikal jenis Honda bertembung sesama sendiri menyebabkan kedua-dua motosikal remuk dalam kejadian pada jam 2 petang itu.
Ketua Polis Daerah Betong DSP Mohd Fahdil Antum Abdullah memberitahu, kesemua mangsa adalah penduduk tempatan berasal dari kampung sama.
“Pertembungan tersebut mengakibatkan kedua-duanya terkorban. Seorang mangsa meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal di Klinik Kesihatan Pusa,” katanya.
Jelasnya, seorang lagi rakan juga pembonceng salah sebuah motosikal, cedera parah dan dirujuk ke Hospital Betong untuk rawatan lanjut.
“Kedua-dua mangsa yang maut dikenali sebagai Abang Sahril Abang Sabak, 26, yang berasal dari Kampung Tengah Tambak dan Shahrul Rashit, 21, dari Kampung Hulu Tambak manakala pembonceng Faizal Ramli, 29,” katanya.
Kedua-dua mayat mangsa dirujuk ke Hospital Betong untuk tujuan bedah siasat.

Sementara itu di Sarikei, seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah lori baharu keluar dari Jalan Durian menuju laluan utama Jalan Repok di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa Jan Bilin,23 dari Rumah Dapoi, Bulat dipercayai dalam perjalanan menuju tempat kerja.
Akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak dan mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian penting badan menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.
UB: http://www.theborneopost.com/2016/03/10/dua-maut-motosikal-bertembung/#ixzz42SJUJL22

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress