11 March 2016

Duta Nafi Kapal China Berlabuh Di Gugusan Beting Patinggi Ali

Gambar Hiasan

KUCHING, 10 Mac (Bernama) -- China menafikan laporan kehadiran kapal peronda pantai China berlabuh di perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, di Laut China Selatan, dalam zon ekonomi eksklusif Malaysia.

Memang ada kapal peronda pantai China yang datang ke kawasan itu tetapi ia tidak berlabuh di situ, kata Duta China di Malaysia Dr Huang Huikang. Gugusan Beting Patinggi Ali terletak di utara Sarawak.

Dr Huang berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di sini hari ini.

"Saya boleh beritahu anda...sekarang tiada kapal peronda pantai China yang ada dan berlabuh di sana (Gugusan Beting Patinggi Ali)," katanya sambil menambah kapal yang datang itu mungkin untuk melakukan pemeriksaan.

"Bagaimanapun kapal itu tidak tinggal atau berlabuh di situ. Jadi ini adalah untuk membetulkan maklumat bagi memberi gambaran sebenar," katanya.

Ditanya sama ada isu kehadiran kapal itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Adenan, Dr Huang menjawab 'tidak'.

"Sebenarnya perkara ini banyak dilaporkan media dan terus terang, kami tidak membincangkannya kerana bagi saya ia lebih sesuai dibincangkan antara kerajaan Malaysia dan kerajaan China," katanya.

Terdahulu, Adenan turut menerima kunjungan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum dan pegawai daripada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Dr Huang turut menafikan laporan mengenai nelayan tempatan yang diancam oleh kapal peronda pantai China.

"Terdapat spekulasi atau khabar angin mengenai kapal peronda pantai China mengusir bot nelayan Malaysia atau mengejar mereka.

"Saya ada menghubungi Ibu pejabat di Beijing dan jawapan yang saya dapat adalah agensi penguatkuasaan China dan kapal peronda China tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Dr Huang berkata China sangat gembira mempunyai persetujuan penting dengan Malaysia dan beliau berasakan ia adalah satu model yang baik untuk diikuti negara lain.

"China dan Malaysia mempunyai perkongsian yang konsisten, menyeluruh dan strategik. Kita tidak membiarkan sedikit percanggahan pendapat dan pertikaian menjejaskan hubungan.

"Malah kita berjaya mengendalikannya dengan baik dan berharap ia akan berterusan," katanya.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress