Annuar Musa |
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan wujudnya tangan hitam mencampuri urusan pentadbiran skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) sehingga menyebabkan prestasi pasukan itu merudum ketika ini.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya menyalahkan barisan pemain PQP TRW yang katanya gagal memberikan aksi terbaik sehingga menyebabkan pasukan itu tersingkir awal daripada persaingan Piala FA selain prestasi terumbang ambing dalam Liga Super.
Katanya, dakwaan wujudnya campur tangan oleh individu yang tidak berkelayakan dalam pengurusan pasukan Kelantan bagi beliau hanyalah direka sumber pemain tersebut untuk meraih sensasi selain mencari alasan apabila pasukan tidak kuat.
“Saya susah hendak komen perkara ini, kalau betul kenapa tidak ada pemain bawa kepada pihak pengurusan. Kalau sekadar sebut tangan ghaib, tangan ghaib itu siapa. Buat kenyataan umum seperti ini tidak menyelesaikan masalah.
“Cuma saya fikir, benda ini direka-reka (untuk) hendak sensasi, hendak cari alasan bila kita tidak kuat. Baiki dan main betul-betul bukan dengan menyalahkan mana-mana pihak.
“Tahun lalu mereka (pemain) datang kepada saya beritahu pemain import tidak bagus, saya tukar, tetapi tidak naik juga. Kemudian beritahu jurulatih tidak bagus, saya tukar, tetapi tidak menang juga,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang pemain mendedahkan ada tangan hitam mencampuri urusan pentadbiran skuad PQP TRW sehingga menyebabkan pemain-pemain tidak selesa dan menjadi punca kepada persembahan hambar dipamerkan mereka sepanjang kempen Liga Super setakat ini.
Pemain itu, yang enggan namanya didedahkan, berkata kelemahan itu berlaku apabila wujudnya campur tangan oleh individu yang tidak berkelayakan dalam pengurusan pasukan Kelantan.
Ekoran daripada itu, penaja utama PQP TRW, Datuk Seri Dr. Hamiza mahu Kafa segera menjalankan sisatan lanjut berhubung dakwaan tersebut kerana tidak mahu pasukan terus beraksi hambar.
Tambah Annuar, pemain perlu mempamerkan aksi terbaik dan sekiranya tidak berjaya boleh terus berusaha bukan dengan menyalahkan orang lain sekiranya gagal.
Sementara itu Annuar turut menegaskan bahawa beliau masih tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukan Kelantan setakat ini.
“Piala Fa, sasaran kita sekurang-kurangnya separuh akhir, tidak berjaya. Liga Super, kita sasar empat terbaik, sekarang di anak tangga enam atau lapan.
“Bagaimanapun, masih terlalu awal, apabila habis pusingan pertama baru kami buat penilaian. Kalau masih tidak meningkat, bukan setakat pemain saya tukar, ketua pasukan, jurulatih saya tukar,” katanya.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.