10 March 2016

Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Tidak Jejaskan Sistem Penyampaian - Menteri


KUALA LUMPUR, 10 Mac - Arahan yang dikeluarkan kepada jabatan dan agensi kerajaan supaya mengoptimumkan perbelanjaan tidak akan memberi kesan besar terhadap sistem penyampaian, kata dua menteri.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu hanya terpakai bagi perbelanjaan kecil oleh kementerian beliau serta 12 agensi di bawahnya seperti tidak lagi menghidangkan makanan semasa mesyuarat.

"Mungkin, ia hanya menjejaskan beberapa perkara, tetapi bukan pembangunan infrastruktur seperti projek tebatan banjir dan sebagainya. Perkara kecil seperti makanan, makan tengah hari, makan malam untuk mesyuarat dan sebagainya, akan saya potong," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan Selasa (8 Mac) bertajuk 'Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan' membayangkan antara perkara yang akan dilaksanakan ialah membekukan pengambilan pekerja baharu, mengetatkan pembayaran kerja lebih masa dan memotong elaun keraian Menteri dan Timbalan Menteri sebanyak 10 peratus berkuat kuasa bulan ini.

Menurut Wan Junaidi, kementerian berkenaan menyasarkan penjimatan hingga sebanyak RM60 juta melalui pelaksanaan langkah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pula berkata jabatan itu telah mengurangkan perbelanjaan bagi perjalanan ke luar negara sejak dua tahun lepas.

Katanya, pegawai kerajaan, termasuk beliau, perlu berhemat dan bertanggungjawab apabila menggunakan wang kerajaan dan rakyat.

BERNAMA: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1224043

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress