SIBU: Seorang lelaki mendakwa diri sebagai bomoh ‘tarik duit’ yang mampu menggandakan wang pelanggannya ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Komersil di sebuah hotel bajet di sini malam Isnin lalu.
Suspek, 49, ditahan kerana disyaki menipu beberapa pelanggan sejak tahun lalu dengan nilai dianggarkan lebih daripada RM75,000.
Bertindak daripada maklumat, pasukan polis diketuai ASP Ahmad Yuthri mengadakan satu serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Jalan Raminway.
Ketika serbuan dilakukan, polis mendapati dua lelaki (mangsa) bersama suspek dipercayai sedang mengadakan upacara penjampian di dalam sebuah bilik penginapan berkenaan.
Menurut sumber, suspek berbangsa Iban dan berasal dari sebuah rumah panjang di Sungai Mupong, Bintangor.
Polis kemudian dipandu arah oleh suspek ke hadapan sebuah lagi hotel di Jalan Kampung Nyabor untuk menunjukkan tempat keretanya diparkir.
Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menjumpai beberapa barangan seperti tasbih, pisau tembaga, wang kertas mayat, kain bertulis Jawi, sepasang baju Melayu, kopiah dan sebuah beg dipercayai diguna untuk tujuan menipu mangsa.
Suspek telah dibawa ke Balai Polis Sentral dan kesemua barangan tersebut telah dirampas.
Difahamkan, dua mangsa menyerahkan wang tunai kepada suspek kononnya untuk menggandakan wang mereka.
Sumber polis memberitahu suspek dipercayai terbabit dalam satu kes penipuan bersama dua orang lelaki menggunakan modus operandi sama pada Mac tahun lepas.
Ketika itu, seorang lelaki berasal dari Kapit mendakwa ditipu oleh bomoh tersebut dengan nilai kerugian sebanyak RM75,000 termasuk nilai dalam bentuk barang kemas.
Difahamkan, barang kemas berkenaan telah disimpan dalam satu sampul surat sebelum mengarahkan pengadu supaya tidak membukanya dalam masa dua minggu.
Pengadu tersebut hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas dimaklumkan oleh suspek dua minggu kemudian.
Apabila pengadu membuka sampul surat tersebut, dia hanya menemui batu dan dua keping wang kertas palsu di dalamnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika diminta pengesahan kes memberitahu bahawa suspek telah diperintah reman selama tiga hari sehingga hari ini (10 Mac).
“Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.
UB: http://www.theborneopost.com/2016/03/10/bomoh-tarik-duit-dicekup/#ixzz42SJriTMc
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.