11 March 2016

Tun Mahathir ‘Dipecat’ Dari Petronas

KUALA LUMPUR – Kabinet hari ini bersetuju sebulat suara menamatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata kabinet berpendapat oleh kerana Dr Mahathir tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, beliau sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.

“Kabinet hari ini telah membincangkan tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada minggu lepas.

“Deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Petronas selepas bersara sebagai Perdana Menteri pada 2003, dan pernah meletakan jawatan pada 2013 atas nasihat doktor yang meminta beliau mengurangkan masa kerja di pejabat.

Kelab Naib Ketua Umno Bahagian 1Malaysia pada Selasa menggesa kerajaan melucutkan jawatan Mahathir dalam beberapa syarikat GLC pada masa ini seperti Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana, Penasihat Petronas dan Pengerusi Proton.

Pengerusinya, Datuk Muhamad Anuar Md Yunos sebelum ini menyuarakan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan Mahathir yang menggerakkan Deklarasi Rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dengan mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri serta Presiden Umno.

Muhamad Anuar juga berkata penglibatan beberapa pemimpin Umno lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan menandatangani deklarasi itu dan bersengkongkol dengan pemimpin pembangkang untuk menyingkirkan Najib itu adalah tindakan tidak berperlembagaan.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress