KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu tindakan mempersoalkan status calon langsung Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) dihentikan.
Adenan berkata demikian sebagai merujuk kepada 11 calon langsung BN terutama Dato Sri Wong Soon Koh yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua sedangkan tidak mewakili mana-mana parti.
“Perkara ini telah diselesaikan antara rakan-rakan dalam BN dan saya tidak mahu ada mana-mana pihak atau individu membuat sebarang kenyataan berhubung perkara ini lagi.
“Saya pasti mereka (calon-calon langsung BN) ini akan menyertai salah satu daripada parti komponen BN bila tiba masa sesuai nanti,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai penuh kabinet negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Selain Wong, turut menang sebagai calon langsung BN dalam PRN11 ialah Datuk Dr Jerip Susil, Dr Johnical Rayong Ngipa, Ranum Mina, Datuk Tiong Thai King, Tan Sri William Mawan Ikom, Rosey Yunus, Paulus Palu Gumbang, Miro Simuh, Datuk Gerawat Gala dan John Ilus.
Wong bersama Dr Jerip, Dr Rayong, Ranum dan Tiong adalah bekas ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang merupakan serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Manakala Mawan, Rosey dan Paulus bekas ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) juga merupakan serpihan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Dalam pada itu, difahamkan bahawa enam daripada calon langsung BN iaitu Miro, John, Gerawat termasuk Mawan, Rosey dan Paulus memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Manakala Wong, Dr Jerip, Dr Rayong, Ranum dan Tiong masih belum membuat sebarang keputusan tetapi dilihat lebih berminat untuk menyertai SPDP menerusi idea penggabungan bersama UPP.
Turut hadir tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan barisan menteri kabinet yang lain.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.