KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata pihak yang meminta beliau melepaskan jawatan itu untuk memberi laluan kepada wakil Cina, adalah satu ‘gurauan’.
“Anda minta saya melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri? Anda mungkin bergurau,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Menteri-Menteri Muda Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas dakwaan beberapa pemimpin Cina yang mahukannya melepaskan jawatan itu agar wakil Cina boleh dilantik.
Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata beliau tiada masalah sekiranya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memenangi lebih banyak kerusi berbanding PRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, jika lima calon langsung Barisan Nasional (BN) (bekas SUPP dan UPP) mengambil keputusan me-nyertai semula SUPP.
Tegasnya perkara lebih penting ialah lima bekas pemimpin SUPP dan UPP itu menyertai salah satu parti komponen BN sedia ada.
“Jangan lawan BN. Bilangan bukan soalnya tetapi sama ada anda komited kepada tugas diberikan atau BN.
“Sama ada anda ada 10,15 atau 20 (kerusi dimenangi), ia bukan isu. Komitmen anda kepada BN itu yang diambil kita,” katanya.
Lima bekas pemimpin SUPP dan UPP yang dimaksudkan ialah Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Datuk Tiong Thai King (Dudong), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Ranum Minar (Opar).
Menjawab satu soalan, Ma-sing berkata: “Saya fikir beliau (Wong) mempunyai hak (untuk kembali menyertai SUPP) tetapi terpulang kepada beliau membuat keputusan.”
Beliau menambah: “Saya pasti mereka akan membuat keputusan begitu, agar masalah dapat dikurangkan dan terpulang parti mana mahu disertai.”
Menjawab isu sama, beliau berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah menjelaskan se-kiranya komuniti Cina mahu mempunyai Timbalan Ketua Menteri (Cina) mereka harus mengundi wakil Cina dipilih.
Tegasnya keputusan melantik Timbalan Ketua Menteri Cina atau tidak adalah prerogatif Ketua Menteri.
“Jika (kamu) tidak memenangi banyak kerusi, bagaimana anda mahu Timbalan Ketua Menteri Cina dilantik?
“Sekarang terpulang kepada komuniti Cina membuat penentuan dan Ketua Menteri telah menyatakan dengan jelas, jika mahukan Timbalan Ketua Menteri Cina, beri undi yang lebih…anda perlu memenangi 19 kerusi terlebih dahulu,” ujarnya.
--Utusan Borneo 20/05/2016
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.