24 March 2016

Suhu Panas di Sarawak Masih Selamat

Suhu panas di Sarawak masih selamat meskipun bacaan suhu paling panas pernah direkod di Limbang mencecah sehingga 36.1 darjah Celsius pada Februari lalu.
Madius (kiri) melakukan simbolik perasmian Hari Meteorologi Sedunia 2016, Pejabat Meteorologi
dan Stesen Radar Meteorologi Miri semalam.

MIRI: Cuaca panas dialami Sarawak ketika ini masih lagi selamat meskipun bacaan suhu paling panas pernah direkod di Limbang mencecah sehingga 36.1 darjah Celsius pada Februari lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata suhu kemuncak El-Nino pada Februari lepas dan suhu panas berlaku ketika ini dijangka pulih pada Jun akan datang.
“Peralihan monsun timur laut kepada barat daya nanti akan membawa implikasi kepada perubahan cuaca termasuk cuaca panas, kering dan lembap namun keadaan itu akan pulih pada Jun kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2016, Pejabat Meteorologi dan Stesen Radar Meteorologi Miri semalam.
Menurutnya, meskipun bacaan cuaca paling panas berlaku terutama di kawasan utara Sarawak iaitu Miri dan Limbang, namun keadaan itu masih lagi selamat berbanding di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Jerebu, Cuaca Panas dan Kering Kebangsaan bagi menangani isu berkaitan cuaca panas termasuk pembenihan awam, tindakan penutupan sekolah dan sebagainya,” jelasnya.
Madius turut menasihati orang awam agar sentiasa mengurangkan aktiviti luar dan minum sekurang-kurang  tiga liter air bagi mengelak gelombang haba secara langsung termasuk serangan strok haba.
Pada masa sama, kerajaan juga melulus peruntukan berjumlah RM68 juta bagi meningkatkan keupayaan dan perkhidmatan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) termasuk di Sarawak.
“Sarawak mempunyai lapan stesen meteorologi dan saya sebagai menteri bertanggungjawab amat berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan METMalaysia di Sarawak terutama bacaan semasa cuaca,” jelasnya.
Mengulas mengenai Pejabat Meteorologi Miri, ia juga menjadi pusat sehenti (one-stop) kepada orang ramai mendapatkan ramalan, amaran cuaca dan keadaan laut dan dilengkapi dengan peralatan memantau cuaca termasuk tsunami.
“Stesen Radar Meteorologi Miri beroperasi pada 1 Julai 2010 dan berpera-nan memantau cuaca sekitar Miri, Marudi, Bario, Ba’Kelalan, Limbang, Lawas dan Utara Bintulu, sehingga kini Sarawak ada tiga stesen radar iaitu Kuching, Bintulu dan Miri,” jelasnya.
Pejabat Meteorologi Miri juga memain peranan men-cerap semua data berkaitan cuaca merangkumi suhu, arah dan kelajuan angin, tekanan, kelembapan udara serta jarak ketampakan secara masa nyata.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI Profesor Madya Dr Ramzah Dambul, Ketua Pengarah METMalaysia Datuk Che Gayah Ismail dan Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak Wong Teck Kiong.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Berita Pilihan. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress