KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) semalam memutuskan ahli parti itu akan memohon menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang lain.
Perkara itu dinyatakan Pemangku Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie pada sidang media selepas selesai mesyuarat itu yang turut dihadiri Setiausaha Agung TERAS Datuk Sylvester En-tri Muran.
“Semua sedia maklum sebelum ini saya pernah meng-umumkan parti akan dibubarkan dan ia adalah pandangan peribadi atas nasihat beberapa ahli CEC tetapi hari ini mesyuarat penuh CEC hanya mencapai satu keputusan.
“Keputusan itu ialah semua ahli parti harus memohon menyertai PBB serta kumpulannya dan tindakan kita yang seterusnya berdasarkan keputusan permohonan itu,” jelasnya.
Manakala bagi ahli bukan Bumiputera, Nansian berkata mereka boleh menyertai mana-mana parti komponen BN yang lain.
Bermakna, nasib parti itu kini bergantung kepada penerimaan parti-parti komponen (BN) Sarawak ter- hadap ahli TERAS.
Beliau memberitahu, permohonan rasmi ahli TERAS akan dikemukakan kepada PBB dan parti komponen BN yang lain pada hujung Jun depan.
Menurutnya ketika ini TERAS mempunyai kira-kira 25,000 ahli berdaftar di 24 bahagian di seluruh Sarawak.
Ditanya mengenai tiga wakil rakyat yang merupakan bekas ahli TERAS menyertai PBB, Nansian berkata ia tiada kaitan dengan parti memandangkan mereka sudah keluar daripada parti tersebut.
“Mereka memohon sendiri, tidak melalui parti dan ia keputusan peribadi mereka tiada kena mengena dengan parti.
“Saya tidak boleh mengulas atau memberi sebarang komen mengenai perkara itu, tambahan mereka sudah keluar parti,” ujarnya.
Pada 11 Mei lalu Nansian dalam satu sidang media memberitahu bahawa TERAS akan dibubarkan kerana tidak lagi mempunyai hala tuju kukuh selepas wakil rakyatnya yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 7 Mei lalu sebagai calon langsung BN tidak boleh menyertai semula parti itu.
Tiga wakil rakyat yang dipilih sebagai calon langsung BN dalam Pasukan Adenan ialah bekas Presiden TERAS Tan Sri William Mawan Ikom, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang.
Manakala Nansian dan Datuk Sylvester Entri Muran tidak dipilih mempertahankan kerusi masing-masing di Tasik Biru dan Marudi kerana diberikan kepada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.