KUCHING: Tidak ada paksaan dan ia atas kerelaan wakil rakyat tanpa parti mahu menyertai mana-mana parti politik termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagaimanapun keputusan menentukan sama ada permohonan mereka diterima atau sebaliknya adalah terserah kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB.
“Saya mahu menekankan di sini bahawa keputusan mereka (wakil rakyat) mahu menyertai PBB khasnya adalah dengan sukarela dan tidak ada paksaan dalam hal ini.
“Ia keputusan mereka dan mereka membuatnya sendiri namun bagi PBB ia terpulang kepada MKT untuk menentukan dan membuat keputusan mengenai permohonan,” kata Timbalan Ketua Menteri itu.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Tugas antara beliau dan bekas Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing di sini, semalam.
Kelmarin akhbar menyiarkan, tiga lagi wakil rakyat tanpa parti termasuk Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa, ketiga-tiganya bekas pemimpin Parti Rakyat Bersatu (UPP) menghantar permohonan menyertai PBB.
Ketiga-tiga calon langsung BN pada pilihan raya lepas itu menghantar borang permohonan dengan alasan utama menyertai PBB adalah bagi mengukuhkan lagi perjuangan politik agar dapat berkhidmat untuk rakyat dengan lebih efektif.
Uggah berkata, beliau turut menghubungi setiausaha kerja PBB, semalam yang mengesahkan menerima borang permohonan daripada tiga wakil rakyat berkenaan.
“Apa pun kita tunggu MKT buat keputusan dan mereka yang akan memutuskan.
“Terpulang kepada MKT untuk membuat keputusan kerana kami perlu bermesyuarat dan berbincang baharu selepas itu kita tahu keputusan… harap anda (media) bersabar,” katanya.
Sementara itu, Masing ketika ditemui pada majlis yang sama menyatakan bahawa wakil rakyat terbabit berhak memilih mana-mana parti yang mereka mahu sertai.
Kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan itu, mereka bebas ke mana sahaja mahu pergi dan keputusan itu terserah kepada mereka sendiri.
Jelasnya, ia tidak penting berapa banyak kerusi yang dimiliki PBB.
“Sama ada 49, 60 atau 70, saya berpendapat ia adalah kebebasan untuk memilih dan jika mereka mahu menyertai PBB sertailah. Kebebasan berpersatuan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia dibenarkan,” katanya.
Sebelum ini enam wakil rakyat BN tanpa parti lain diketuai ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan lima yang lain turut memohon menyertai PBB.
Lima yang lain ialah ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Serembu Miro Simuh dan ADUN Bukit Semuja John Ilus.
Mawan, Rosey dan Paulus merupakan bekas pemimpin TERAS manakala Gerawat, Miro dan Ilus bekas ahli PBB yang semua meletak jawatan daripada parti untuk bertanding sebagai calon langsung BN.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.